Home 2008 Tokoh Tokoh Matematik

Tokoh Matematik PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Marlia Binti Mat Isa   
Rabu, 16 Januari 2008 23:28

 



 

Memulakan kerjaya sebagai seorang guru Matematik, kini cendiakawan Profesor Dr. Noor Azlan bin Ahmad Zanzali merupakan salah seorang penggubal KBSM dan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau dilahirkan pada 15 Disember 1951 di Ipoh, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Conolly, Ipoh dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Methodist, Parit Buntar dan Cawangan Putera, Maktab Tentera Di Raja, Sungai Besi, Selangor.

 

Pada tahun 1975, beliau telah memperolehi Diploma Sains Pendidikan (Matematik ) kelas pertama dan Ijazah Sains serta Pendidikan (Matematik ) pada 1981 daripada Universiti Teknologi Malaysia. Seterusnya pada tahun 1984 dan 1987 beliau telah berjaya memperolehi Ijazah sarjana M.Sc dan Doktor Falsafah, Ph.D dalam bidang Curriculum and Instruction (Mathematics Education) daripada University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat.

 

Kerjaya beliau bermula sebagai seorang guru Matematik sekolah menengah. Pada tahun 1982, beliau telah mula bertugas sebagai seorang Penolong Pensyarah A di Fakulti Sains, UTMA. Seterusnya beliau dilantik sebagai pensyarah pada tahun 1985, Profesor Madya pada tahun 1991 dan Profesor pada tahun 2000. Ikuti temubual penulis bersama beliau.

 

 

 

 

 

"Pada pendapat saya, untuk cemerlang dalam matematik pelajar tidak boleh sekadar memperolehi A sahaja tetapi perlu mempunyai tahap pemikiran matematik yang tinggi, kebolehan menyelesaikan masalah dan sebagainya. A ini merupakan satu permulaan bagi pelajar. Ini kerana untuk mengukur kecemerlangan ia memerlukan jangka masa yang panjang. Kita dapat lihat, ada sesetengah pelajar yang memperolehi keputusan A sewaktu matematik di peringkat SPM tetapi tidak dapat keputusan yang baik di peringkat universiti. Ini kerana mereka cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak cemerlang dalam matematik."

 

 

 

 

Apakah bidang penyelidikan seta kepakaran Prof?

PROF. AZLAN: Fokus penyelidikan saya adalah kepada bidang kurikulum dan pengajaran dengan tumpuan utama kepada pendidikan Matematik. Saya juga terlibat dalam penggubalan, pembinaan dan perlaksanaan KBSM sejak tahun 1988 hingga 2005. Saya juga berminat untuk melihat bagaimana guru – guru melaksanakan matematik dari konteks pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana dalam matematik ada beberapa hasrat yang kita mahu pelajar faham. Justeru itu, kita perlu melihat bagaimana ia dilaksanakan di kelas dan sekolah – sekolah. Selain itu, saya juga membuat beberapa bengkel pengajaran matematik di peringkat universiti.

 

 

Mengapa bidang ini boleh dianggap menarik?

PROF. AZLAN: Sewaktu saya di peringkat sarjana, saya merasakan bidang matematik yang dipelajari terhad. Tidak ramai yang boleh memahami matematik ketika itu. Oleh itu, jika saya boleh mencapai satu tahap yang tinggi dalam matematik, apa yang saya rasa penting ialah bagaimana kita hendak membuat orang faham apa yang kita faham. Sehubungan dengan itu, saya rasa adalah penting untuk mengetahui bagaimana cara untuk membuat orang lebih memahami matematik. Seperti yang diketahui kebanyakan pelajar tidak suka matematik malah peringkat universiti pun masih wujud budaya ini. Jadi ini merupakan diantara isu – isu yang menarik untuk dikaji.

 

 

Apakah hasil penyelidikan Prof setakat ini?

PROF. AZLAN: Saya banyak membuat penyelidikan tentang tahap – tahap kefahaman matematik pelajar sekolah menengah khususnya dalam penyelesaian masalah, komunikasi dan sebagainya. Saya dapati bahawa dalam konteks penyelesaian masalah, negara kita masih di tahap rendah berbanding dengan negara – negara lain seperti Kanada dan sebagainya.

 

 

Bagaimanakah cara pelajar boleh menceburi bidang ini serta kelayakan yang diperlukan?

PROF. AZLAN: Syarat utamanya ialah pelajar itu sendiri mesti bekerja keras, minat, komited dan rajin selain daripada perlu memperolehi ijazah dalam bidang matematik. Kemudian pada peringkat sarjana, para pelajar boleh menjurus kepada bidang pendidikan matematik. Terdapat banyak cabang dalam bidang ini seperti kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, psikologi dan sebagainya. Bidang ini sangat meluas.

 

 

Bagaimanakah masa depan bidang tersebut di negara ini?

PROF. AZLAN: Bidang ini merupakan bidang yang sangat penting kerana kita dapat melihat penyelidikan matematik di Malaysia, baik diperingkat rendah atau tinggi sentiasa melalui perubahan – perubahan yang berbeza. Sebagai contoh ketika zaman persekolahan saya dahulu, menekankan kepada matematik tradisi yang lebih kepada pengiraan. Selepas itu, era matematik moden yang lebih kepada konsep dan pemahaman serta akhir sekali ialah matematik KBSM. Perkembangan ini memberi kesan pada peringkat universiti. Justeru itu, perubahan – perubahan ini perlu difahami oleh semua golongan, bukan setakat pensyarah sahaja malahan ibu bapa serta masyarakat. Mereka tidak perlu memahami perkara ini secara mendalam, tetapi sekurang – kurangnya mereka tahu mengapa perubahan – perubahan ini berlaku. Adakah perubahan – perubahan yang dilakukan relevan, sesuai dan sebagainya. Selain itu, semua perkara – perkara ini perlu difahami oleh golongan pendidik tidak kira di peringkat rendah, menengah atau pengajian tinggi. Ini kerana pada masa sekarang penekanan sudah berbeza. Berdasarkan kajian dan cerapan yang saya lakukan, kebanyakan golongan pendidik masih mengamalkan pengajaran secara tradisi. Dengan ini, kita tidak akan dapat melahirkan pelajar yang dinamik, boleh berkomunikasi, pemikiran kreatif dan sebagainya. Ini sering diperkatakan oleh Perdana Menteri kita Dato’ Seri Abdullah Badawi yang menekankan modal insan. Di mana pelajar seharusnya bukan sahaja bijak menguasai kandungan, tetapi juga bijak dalam komunikasi, pergaulan, pemikiran dan sebagainya. Oleh yang demikian, pada saya bidang ini sangat penting dan akan terus berkembang kerana manusia itu juga akan mengalami perkembangan dari masa ke semasa.

 

 

Bagaimanakah kita hendak menanam serta menarik minat pelajar supaya terlibat dalam bidang ini?

PROF. AZLAN: Pada pendapat saya ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan. Pertamanya kita jadikan matematik itu lebih menarik dan dekat dengan pelajar. Seperti yang ditekankan oleh KBSM, contoh – contoh harian perlu digabungjalinkan dengan matematik yang ada sekarang. Sebagai contoh pelajar diminta mengira berapa halaju yang perlu dicapai oleh Soyuz sebelum dia mencapai orbit. Ini boleh dijadikan sebagai projek kepada pelajar dan kita kaitkan dengan topik – topik yang telah mereka pelajari.

 

 

Secara ringkas, apa yang boleh Prof katakan mengenai kemajuan bidang matematik sekarang ?

PROF. AZLAN: Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh bidang matematik. Dulu kita melihat matematik hanya sekadar kira – mengira dan satu perkara yang menakutkan, tetapi pada masa kini matematik telah berkembang dan banyak digunakan. Walaupun perkembangan matematik untuk mamasuki silibus ini memakan masa, sebagai contoh matematik moden yang dipelajari sekarang merupakan perkembangan matematik kurun ke 19 dahulu. Tetapi pada pendapat saya, perkembangan matematik terkini yang kita perlu lihat ialah fuzzy matematik. Dengan ini, matematik itu akan menjadi lebih menarik, berguna dan sebagainya.

 

 

Secara peribadi, apakah Prof berpuas hati dengan pencapaian matematik di negara ini?

PROF. AZLAN: Ianya bergantung bagaimana kita mendefinisikan pencapaian itu. Kalau dari aspek peperiksaan, data menunjukkan keputusan yang membanggakan. Tetapi kalau kita melihat dari aspek lain dan mengambil definisi matematik itu bukan sekadar mengira sahaja tetapi boleh memahami, membina pemikiran kita serta mensistematikkan cara kita berfikir, perkara ini saya rasa masih belum boleh dibanggakan. Ini kerana banyak lagi kelemahan – kelemahan pelajar yang kita boleh perbaiki supaya mereka boleh mencapai kemahiran yang skor selain pengiraan.

 

 

Prof melihat bidang matematik yang bagaimana perlu diberi penekanan pada masa akan datang?

PROF. AZLAN: Seperti yang saya katakan sebelum ini, penekanan harus diberikan kepada bidang matematik yang disarankan oleh KBSM. Malahan ianya banyak diberi penekanan oleh kurikulum negara – negara lain. Selain itu, saya melihat perkembangan NCTM yang menyarankan penekanan harus dibagi kepada bidang matematik yang dapat memenuhi semua bidang – bidang lain. Sebagai contoh dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kita harus menekankan projek matematik seperti matematik dalam sains, matematik dalam geografi dan sebagainya supaya pelajar dapat melihat bahawa matematik itu merupakan satu bidang yang dinamik dan luas. Justeru itu, pada pendapat saya matematik yang berbentuk formal itu harus dikurangkan dan matematik yang lebih berbentuk aplikasi harus diberi penekanan.

 

 

 

 

 

Pada pandangan Prof, apakah yang dimaksudkan dengan kecemerlangan matematik?

PROF. AZLAN: Pada pendapat saya, untuk cemerlang dalam matematik pelajar tidak boleh sekadar memperolehi A sahaja tetapi perlu mempunyai tahap pemikiran matematik yang tinggi, kebolehan menyelesaikan masalah dan sebagainya. A ini merupakan satu permulaan bagi pelajar. Ini kerana untuk mengukur kecemerlangan ia memerlukan jangka masa yang panjang. Kita dapat lihat, ada sesetengah pelajar yang memperolehi keputusan A sewaktu matematik di peringkat SPM tetapi tidak dapat keputusan yang baik di peringkat universiti. Ini kerana mereka cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak cemerlang dalam matematik.

 

 

Apakah peluang - peluang kerjaya yang terdapat dalam bidang ini?

PROF. AZLAN: Kalau kita lihat di negara seperti Amerika Syarikat dan negara – negara maju yang lain, matematik banyak terlibat dalam bidang penyelidikan. Contohnya pengiraan jalan, bangunan, ruang dan sebagainya. Jadi ia memerlukan orang – orang yang pakar dalam bidang matematik. Walaupun bidang ini masih belum berkembang di Malaysia, tetapi ia akan diperkembangkan dari masa ke semasa. Namun begitu, di negara kita masih terdapat peluang kerjaya dalam bidang statistik, kewangan, pendidikan dan sebagainya.

 

 

Seperti yang diketahui, Prof memulakan kerjaya sebagai seorang guru. Apakah nasihat daripada Prof kepada para guru di luar sana untuk mencapai tahap ini?

PROF. AZLAN: Apa yang saya boleh katakan, pertama mesti berminat dengan bidang pendidikan matematik, bekerja keras dan melihat bidang pengajaran matematik secara terbuka. Seterusnya sambung belajar, ambil peperiksaan, rajin membaca dan libatkan diri dengan kajian kecil –kecilan seperti kajian tindakan di sekolah.

 

 

Apakah pengalaman atau peristiwa menarik sepanjang kerjaya Prof?

PROF. AZLAN: Ketika saya menyambung pengajian ke peringjat Ph.D merupakan sesuatu yang menarik. Selain itu, yang terbaru apabila saya diberi peluang membentangkan kertas kerja di hadapan ratusan cendekiawan dari pelbagai negara iaitu di Pulau Pinang dan Amerika Syarikat. Oleh itu, saya menyarankan agar semua pensyarah cuba untuk mengambil peluang seperti ini.

 

 

 

 

 

Comments (0)

LAST_UPDATED2
 

Daftar Masuk






Lupa password?
Lupa username?
Belum Ada Akaun? Cipta Akaun

Undian

Persatuan Matematik di sekolah haruslah memuatkan aktiviti Dunia Matematik
 

Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.